kedaulatan Petronas

Janganlah dijual angsa emas negara

Oleh AHMAD FADHLI SHAARI

SAYA ingin memberikan respon terhadap lontaran idea ‘teman sedewan’ saya, Ahli Parlimen Subang Wong Chen PKR yang mencadangkan agar disenaraikan PETRONAS dengan jumlah terbitan modal RM300 bilion. Saya tidak mempunyai masa dan ruang yang mencukupi untuk memberikan reaksi di dalam dewan justeru penulisan ini saya nukilkan sebagai peringatan kepada kerajaan.

Ini bukan kali pertama. Sebelum ini 2018, Lim Guan Eng DAP pernah cadangkan idea yang sama sewaktu menjadi Menteri Kewangan.

Kemudian pada tahun 2019 pula, Nga Kor Ming DAP juga membawa idea yang sama. Tujuannya untuk bantu selesaikan hutang kerajaan.

Idea agar jualan saham PETRONAS bagi mengurangkan hutang kerajaan bukanlah sesuatu yang mustahak dan mendesak buat masa ini dalam keadaan negara bergantung besar dengan hasil minyak untuk perbelanjaan negara.

“Cadangan ini membuka ruang untuk PETRONAS dimiliki pihak asing yang memungkinkan syarikat minyak negara ini hilang daripada kawalan kita satu masa nanti.” – Tan Sri Ramon Navaratnam, Pengarah Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI), Penasihat Korporat Sunway Group.

Tan Sri juga mencadangkan agar melihat kepada bajet pembangunan negara dan membuat potongan kepada peruntukan untuk projek pemulihan yang terlampau mahal.

Pakar ekonomi daripada UNITAR, Barjoyai Bardai merespon kepada isu ini dengan mengatakan hutang negara tidak seteruk seperti yang didakwa.

Yang lebih utama buat kerajaan adalah untuk merapatkan jurang antara orang kaya dan miskin dengan melakukan penstrukturan semula ekonomi negara.

Keuntungan PETRONAS adalah lebih baik diletakkan sebagai dana wakaf seperti yang pernah dibuat di Norway sejak 1990 untuk melabur lebihan pendapatan hasil minyak negara mereka.

PETRONAS adalah penyumbang besar kepada sumber pendapatan negara. Sejarah bermulanya hubungan Malaysia dengan minyak dan gas ini sudah lama sejak 100 tahun dulu sebelum wujudnya PETRONAS.

Ia bermula apabila Shell menjumpai minyak berkualiti tinggi yang pertama di Sarawak pada tahun 1910. Sejak itu, dengan kemajuan teknologi lebih banyak kawasan minyak dijumpai dan telah menarik minat banyak syarikat minyak luar seperti Shell, Esson dan Conoco.

Syarikat-syarikat ini telah diberikan konsesi untuk beroperasi dengan membayar royalti dan cukai. Apabila industri minyak dan gas semakin berkembang OPEC berpendapat perlunya ada satu punca kuasa untuk mengawal sumber-sumber ini.

Maka Malaysia telah meminta untuk mengambil alih dan mengawal sumber minyak dan gas dalam negara. Oleh itu perlu diwujudkan satu syarikat untuk mengambil alih peranan tersebut.

Rentetan daripada itu, tertubuhlah PETRONAS sebagai syarikat persendirian milik sepenuhnya Kerajaan Malaysia untuk operasi pengeksploitasian dan pengeksplorasian petroleum dalam negara di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Sejak dari itu, PETRONAS menjadi penyumbang besar kepada pendapatan negara dengan nilai eksport minyak yang tinggi dan menjadi bakul eksport utama negara.

Bermula dengan menyumbang 15 peratus kepada pendapatan negara melalui bayaran dividen sehingga mencecah hampir 50 peratus. Terkini pada tahun 2020, jumlah dividen Petronas adalah 49 peratus daripada jumlah pendapatan minyak dan gas negara.

Bahkan ketika pandemik COVID-19 tahun 2020 PETRONAS telah menaikkan bayaran dividen sebanyak RM10 juta kepada negara walaupun PETRONAS ketika itu turut mengalami kerugian bersih yang besar sebanyak RM21 juta.

Begitu juga ketika GST dihapuskan pada tahun 2019, PETRONAS menambah jumlah dividen yang dibayar kepada negara. Selain itu, pendapatan negara daripada PETRONAS juga diperoleh melalui bayaran cukai petroleum, duti eksport dan royalti kepada negeri-negeri.

Dalam keadaan ekonomi yang sangat tidak menentu hari ini, PETRONAS juga ada cabarannya sendiri untuk kekal teguh dan konsisten menjana pendapatan buat negara.

Harga minyak sangat bergantung kepada ‘supply and demand’, polisi awam, keputusan OPEC, gangguan daripada bencana alam dan kegawatan politik. Krisis kesihatan dunia yang berlaku disebabkan virus yang tersebar serata dunia hari ini adalah bukti yang menyumbang kepada ketidaktentuan dalam harga minyak.

Sebelum ini krisis harga minyak pernah berlaku dan memberi kesan yang besar kepada negara pada pertengahan tahun 1980-an dengan permintaan yang menurun, krisis kewangan Asia 1997, kejatuhan mendadak harga minyak antara tahun 2014-2016.

Ketidaktentuan dalam harga minyak ini akan memberi kesan yang langsung kepada pendapatan fiskal negara. Pada tahun 2020 ketika COVID-19 mula menyerang Malaysia, negara diramal hilang RM300 juta bagi setiap kejatuhan 1 dolar harga minyak.

Bayangkan jika PETRONAS memasuki pasaran modal. Dengan cabaran yang perlu ditempuh masa kini PETRONAS perlu menanggung beban yang lebih banyak lagi untuk menanggung risiko dan keperluan-keperluan lain yang terkait dengan pasaran saham.

Jangan ditekan dan diperah sehabisnya lagi apa yang ditanggung PETRONAS. Bimbang apa yang menjadi milik negara pada hari ini lama kelamaan akan menjadi haus dan kering kontang dek tergadai di tangan mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap harta negara.

Penulis ialah Ketua Pemuda Perikatan Nasional


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *