SEORANG guru di Perancis maut akibat ditikam seorang pelajar ketika mangsa sedang mengajar di sebuah sekolah menengah di barat daya negara itu, hari ini.
Lapor agensi berita AFP yang dipetik Berita Harian, guru berumur 50-an itu sedang mengajar bahasa Sepanyol di dalam sebuah kelas sebelum pelajar terbabit didakwa menyerangnya dengan menggunakan sebilah pisau.
Berikutan serangan itu, mangsa segera diberikan rawatan kecemasan di tempat kejadian.
Pendakwa Raya Bayonne, Jerome Bourrier memberitahu AFP, guru wanita itu bagaimanapun meninggal dunia akibat cedera parah, manakala pelajar terbabit berjaya ditahan.
Akhbar tempatan, Sud Ouest, melaporkan pelajar lelaki berumur 16 tahun itu didakwa menyerbu masuk ke kelas berkenaan sambil memegang sebilah pisau sebelum menyerang mangsa.
Menteri Pendidikan Perancis, Pap Ndiaye, berkata beliau amat sedih dengan insiden berkenaan dan akan ke lokasi kejadian.
Leave a Reply