Enam negeri bubar DUN dua minggu terakhir Jun

ENAM negeri mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari, kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan antara enam Menteri Besar serta Ketua Menteri di ibu negara hari ini.

Semua enam Menteri Besar tersebut katanya, mengambil kesempatan minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) yang bersidang dua hari.

“Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun 2023,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

Selain Amiruddin, turut bersama dalam pertemuan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Selain itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Amiruddin berkata, persefahaman sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

“Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, Insya-Allah,” katanya, lapor Berita Harian.

Mengambil kira tempoh masa pembubaran itu, Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini.

Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan, dibawah teraju Perikatan Nasional (PN).

PRN itu perlu diadakan memadangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *