KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertuduhan rasuah terhadap anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melibatkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) tidak akan mengganggu tumpuan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Dakwa beliau, tindakan mahkamah itu sebaliknya menunjukkan ada perancangan untuk melumpuhkan parti itu.
“Tidak (mengganggu) kerana kita yakin ini merupakan satu pertuduhan yang terpilih, Presiden parti dengan jelas menyatakan bahawa kenyataan Presiden UMNO yang dibuat sebelum ini, membuktikan sudah ada perancangan untuk melumpuhkan Bersatu dan PN.
“Ini membuktikan satu ketakutan PH dengan rakan baharu mereka, UMNO, yang dilihat terhadap dukungan begitu kuat rakyat terhadap PN,” katanya kepada media di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut Azmin menegaskan, PN yakin rakyat akan memberi satu lagi isyarat kepada PH dan UMNO kerana tidak menunaikan janji dalam pilihan raya yang lalu.
“Sudah hampir tiga bulan, tetapi tidak ada satu langkah dan tindakan Kerajaan untuk membantu rakyat.
“Hari ini, yang kita lihat dilakukan musuh kita ialah untuk menutup kelemahan mereka. Untuk menutup kelemahan ini, maka mereka menyerang PN. Saya yakin rakyat hari ini cukup matang melihat gelagat PH dan UMNO untuk mentadbir Kerajaan,” katanya, lapor Astro AWANI.
Sementara itu, Azmin meminta semua pihak tidak menyalahtafsir pendiriannya yang mahu berehat ‘seketika’ daripada arena politik.
“Jangan andaikan (rehat) seketika itu sehari ke, seminggu ke, sebulan ke,” jelasnya.
Bagaimanapun apabila ditanya sama ada beliau akan turut bertanding pada PRN nanti, jelasnya, soal calon pilihan raya hanya akan dibincangkan bersama parti-parti di bawah naungan PN.
“Apabila DUN dibubarkan, parti-parti akan meneliti calon-calon yang akan dikemukakan. Belum bubar, jadi belum (ada apa-apa) lagi,” tambahnya.
Leave a Reply