Muhyiddin dakwa Presiden UMNO dalangi pendakwaan

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa kesal dan sedihnya susulan pendakwaan rasuah ke atas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan seorang lagi pemimpin lain, hari ini.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, pendakwaan yang dibuat terhadap Bersatu itu didalangi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya rasa sedih kerana buat pertama kali Bersatu di bawa ke mahkamah.

“Kalau saudari ingat apa kenyataan yang dikeluarkan Presiden UMNO (Ahmad Zahid), dia kata sekarang ini dia tuduh kami kluster mahkamah dan selepas ini akan adalah satu kluster baru, mahkamah juga.

“Itu dah macam satu perkara yang dah awal-awal dirancang.

“Jadi, apa yang berlaku adalah satu perkara yang saya fikir sebagai Presiden Bersatu yang dirancang dan terancang,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, seterusnya menjelaskan bahawa setiap parti memerlukan dana untuk beroperasi dan ini termasuk dana daripada penyokong korporat.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga telah menerima dana daripada penyokong dan dia mempersoalkan mengapa pemimpin mereka tidak didakwa di mahkamah.

“Kami sebenarnya jangka ini akan dilakukan oleh kerajaan PH-BN untuk melemahkan Bersatu selepas melihat sokongan yang semakin meningkat kepada Perikatan Nasional,” katanya, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *