Lapan termasuk Ketua Polis Jambi terbabit nahas helikopter

LIMA penumpang dan tiga kru dilaporkan hilang selepas helikopter milik polis dinaiki mereka semalam terhempas di hutan Jambi, Indonesia akibat cuaca buruk, kata pihak polis.

Nahas itu turut membabitkan Ketua Polis Jambi, Inspektor Jeneral Rusdi Hartono, dengan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang giat dilakukan.

Menurut jurucakap Polis Persekutuan, Inspektor Jeneral Dedi Prasetyo, semua mangsa nahas terselamat dan rakaman telefon bimbit menunjukkan mereka sudah menerima alat bantuan kecemasan serta makanan yang dijatuhkan pasukan SAR.

Polis bagaimanapun enggan menyifatkan kejadian itu sebagai nahas dan menegaskan juruterbang helikopter terbabit terpaksa melakukan pendaratan cemas akibat cuaca buruk.

“Ya, lokasi nahas sudah dikesan dan bantuan sudah diterima rombongan ketua polis. Pasukan SAR sukar untuk ke lokasi nahas susulan keadaan muka bumi di sekitarnya.

“Alat bantuan kecemasan dan bekalan makanan terpaksa dihantar ke lokasi nahas dan beberapa anggota misi SAR akan tiba ke situ tidak lama lagi.

“Sembilan anggota pasukan SAR kini menghampiri lokasi nahas. Mereka perlu berjalan sejauh dua kilometer lagi,” katanya merujuk kepada nahas helikopter Bell 412 SP, menurut Berita Harian yang memetika laporan Agensi/portal berita Tempo.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *