KJ jadi DJ: Khairy buka ‘gelanggang’ topik KWSP

PENYAMPAI radio Hot FM baharu, Khairy Jamaluddin, 47, memulakan hari pertama slot hari ini dengan celoteh yang mengumpan pendengar menerusi topik hangat pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama rakan penyampai, Johan, AG dan Fara Fauzana dalam segmen Bekpes Hot, pagi ini.

Bekas Menteri Kesihatan yang mesra disapa KJ bersiaran selama sejam dan buat kali pertama berada di konti radio bersama Fara yang baru pulang dari mengerjakan umrah.

Menurut Khairy, beliau menyuarakan topik KWSP di mana 60 peratus daripada 20,000 orang bersetuju pengeluaran simpanan KWSP wajar dibenarkan dalam laman Instagram (IG).

Isu KWSP hangat diperkatakan ketika ini dan beliau juga mempromosi mengenai simpanan hari tua dalam IG miliknya semalam.

“Sekarang, ramai meminta kerajaan meluluskan satu lagi pengeluaran. Sudah banyak pengeluaran, antaranya i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan ada minta sekali lagi pengeluaran simpanan khas dikeluarkan sejak pandemik Covid-19.

“Namun, masalahnya simpanan masa tua semakin susut,” katanya, lapor Berita Harian.

Pasukan Hot FM turut menghubungi Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein untuk meminta pendapat.

Nurhisham berkata, jumlah simpanan asas yang perlu ada untuk simpanan hari tua adalah RM240,000.

“Penanda aras simpanan asas adalah RM240,000. Purata simpanan antara RM130,000 sehingga RM140,000, tetapi itu yang betul-betul kaya. Jumlah simpanan bagi aras pertengahan mencerminkan keadaan sebenar.

“Sepatutnya kena ada RM240,000, tetapi kalau simpan secara disiplin, boleh capai insya-Allah.

“Bagi saya, kena buat secara holistik jika melihat keadaan sekarang. Ada juga ahli KWSP nak keluarkan, tetapi baki tidak mencukupi, jadi nak keluar macam mana?

“Ada juga bukan ahli KWSP, jadi pendekatan diambil kerajaan ialah kena cari jalan penyelesaian untuk semua orang.

“Kerajaan ada kaedah membantu individu yang terjejas, sebelum pandemik Covid-19 lagi.
Misalnya, modal perniagaan menerusi lebih 40 program daripada Amanah Ikhtiar, tetapi masalahnya, orang tidak tahu,” katanya.

Tambah Khairy, ramai ambil jalan mudah mengeluarkan simpanan KWSP dan menjejaskan masa depan berikutan tidak tahu mengenai skim bantuan disediakan.

“Kita perlukan RM240,000, jika tiada susah nak bersara dengan bermaruah. Ramai nak keluarkan, tetapi sekali lagi diingatkan simpanan untuk masa depan.

“Secara jujurnya, berapa ramai tidak menggunakannya dengan betul ketika kerajaan memberikan kebenaran pengeluaran simpanan KWSP?

“Jadi, jika tak dapat bergantung kepada KWSP, terpulanglah kepada kerajaan sebab banyak cara lain untuk membantu.

“Saya rasa kerajaan wajar mendengar suara dan rintihan rakyat. Rakyat tengah susah dengan inflasi dan kenaikan harga barang.

“Jadi, fikirkan kaedah terbaik dalam pembentangan Bajet 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa menjejaskan masa depan rakyat dengan membenarkan pengeluaran KWSP,” katanya.

Terdahulu, suara Khairy buat kali pertama berkumandang di stesen radio HotFM mengendalikan slot Bekpes Hot bersama Johan dan AG pada 15 Februari lalu.

Seperti dijangka, kemunculan Khairy dalam keluarga Hot FM memberi impak luar biasa dalam kalangan pendengar sehingga penstriman beberapa kali mengalami gangguan ketika bersiaran.

Khairy mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal pada 9 Februari lalu.

Tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka dalam Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 pagi hingga 10 pagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *