1.84 juta anak muda B40 peminjam PTPTN perlu bantuan: Armada

AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) membantu anak muda, khususnya mereka yang terlibat dengan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Beliau yang sebelum ini turut berjuang supaya kerajaan PH-BN memberi pengampunan kepada peminjam PTPTN secara bersasar berkata, anak muda sekarang ini adalah aset negara yang berharga pada masa depan.

Menurutnya adalah menakutkan apabila kira-kira 1.84 juta anak muda peminjam PTPTN itu tergolong dalam kelas ekonomi B40.

“Mereka adalah aset dan harapan negara! Kalau mereka ditakuk ini maka negara akan hilang kekuatan untuk maju dan membangun.

“Produktiviti akan jatuh dan hasil negara termasuk kadar kutipan cukai akan merudum,” kata Ketua Armada Bersatu itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal mendesak kerajaan memberi keutamaan membantu segera dua kelompok anak muda untuk elak masalah ini daripada melarat.

Dua kelompok itu ialah:

(1) Pandemials – generasi Millennial (lahir tahun 2000 ke atas) yang tercicir dalam semua segi akibat pandemik Covid-19.

(2) Precariats (belia eesah) yang kerja kais pagi makan pagi, kais petang tetap tak dapat makan malam! Mereka ada sijil pendidikan tapi peluang pekerjaan mereka terhad dan tidak padan dengan kemampuan mereka.

“Semua mereka ini adalah Generasi Sandwich! Dihimpit dari luar (pasaran kerja, sistem ekonomi) dan dalam (tanggungjawab jaga ibu, ayah dan anak-anak). Kerajaan perlu bantu segera demi selamatkan mereka dan negara,” katanya lapor Agendadaily.

Pada 14 Februari lalu, Ahli Parlimen kerajaan PH-BN (Pandan), Rafizi Ramli mahu merujuk Wan Ahmad Fayhsal kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengatakan dalam manifesto PH sebelum ni ada janji menghapuskan PTPTN.

“YB Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ni (ada janji) menghapuskan PTPTN. Itu satu pembohongan kerana tak ada janji tu dalam manifesto PH baru-baru ini.

“Perkara itu suatu pembohongan yang jatuh (merujuk) kepada Perkara 36 (12). Saya minta dewan ambil tindakan,” kata Rafizi.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal kemudian mendedahkan manifesto PH membuktikan penghapusan pinjaman PTPTN secara bersasar.

Pada 2 November tahun lalu, 17 hari sebelum PRU-15 diadakan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan manifesto itu berkata Program Pengampunan Hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan diperkenalkan, jika pakatan memerintah.

Ini bermakna PH bersetuju memansuhkan secara bersasar hutang pinjaman PTPTN oleh golongan miskin dan B40.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi (PH-UMNO), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan tidak merancang untuk memansuhkan hutang pinjaman PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40, buat masa ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *