Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEPASANG suami isteri dan seorang kanak-kanak meninggal dunia selepas motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi, Johor Bahru, hari ini.
Kejadian tersebut mengorbankan penunggang motosikal, Mohammad Shahril Abdullah, 38, dan isterinya, Habsah Jailani, 41, serta Muhammad Dany Lukman Naim Abdullah, 10.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Pegawai Bomba Kanan II Wan Nor Affendi berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian tersebut pada pukul 4.47 petang.
Susulan itu katanya, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC dengan sebuah Lori Mitsubishi Fuso.
“Penunggang dan dua pembonceng meninggal dunia akibat cedera parah. Muhammad Shahril dan Habsah dipercayai suami isteri manakala kanak-kanak terbabit tidak dapat dipastikan hubungan dengan pasangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis manakala pemandu lori, Faizi Mohd Fuad Tan, 30, selamat.
Tambahnya, operasi menyelamat mangsa tamat pada pukul 5.50 petang.
Leave a Reply