Oleh RIZQI ZABIDI
PERTEMUAN Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad 13 Februari lalu tidak langsung melibatkan soal politik.
Menurut Muhammad Sanusi, perbincangannya bersama negarawan tersebut lebih banyak berkisar mengenai negeri Kedah, sejarah, Langkawi, industri, padi dan pertanian.
Begitu pun katanya, beliau difahamkan anak Tun Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ada berjumpa dalam kalangan pimpinan lima tertinggi Pas baru-baru ini.
“Saya difahamkan Mukhriz ada jumpa beberapa pemimpin Pas. Saya tak tahu di mana mereka berjumpa dan tak pasti apa yang dibincangkan tetapi harap-harap ia sesuatu yang positif.
“Pertemuan itu diadakan baru-baru tetapi saya tak tanya pun apa dibincangkan. Pertemuan itu melibatkan pemimpin dalam kalangan lima tertinggi Pas,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Bagi Daerah Kota Setar serta Pelancaran ‘Kedah Cashless’ di Hotel Raia, hari ini.
Ditanya sama ada Pas akan menerima sekiranya Mukhriz berhasrat menyertai parti itu, Muhammad Sanusi berkata Pas sedia menerima sesiapa saja yang menyokong parti itu.
“Kalau Mukhriz nak masuk Pas kita terima, wartawan masuk Pas pun kita terima.
“Itu kalau nak masuk Pas lah… Kalau nak jadi Menteri Besar, susahlah sikit,” katanya dalam nada berseloroh.
Dalam pada itu Muhammad Sanusi berkata, Tun Mahathir dalam pertemuan bersamanya turut menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu penempatan haram melibatkan golongan Melayu Islam Kedah di Bukit Malut, Langkawi.
Katanya, selaku antara pencetus yang membawa MIK ke situ, Tun Mahathir merupakan individu paling tepat untuk bercerita mengenai sejarah MIKi serta lokasi tersebut.
Kini katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu segera memainkan peranan dalam memastikan isu tersebut diselesaikan secepat mungkin.
“Dalam pertemuan itu saya minta sokongan Tun Mahathir terhadap cadangan kerajana negeri untuk MKN ambil alih sebahagian tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malayysia (LKIM) di Bukit Malut bagi dijadikan penempatan baharu untuk menggantikan penempatan haram itu. Tun Mahathir bersetuju dan sedia bagi kerjasama penuh.
“Cumanya beliau tegaskan, tak bolehlah ambil tanah LKIM itu mahal-mahal. Itu bagi pastikan rumah dibina tak terlalu mahal dan mampu dibeli oleh mereka yang tinggal di penempatan haram ketika ini,” katanya.
Leave a Reply