KUMPULAN majikan terbesar di negara ini bimbang 60,000 dijangka kehilangan pekerjaan tahun ini, atau dua kali ganda purata tahunan sebelumnya.
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, kebanyakan pekerjaan yang akan terjejas adalah dalam sektor pembuatan dan pembinaan.
Bagaimanapun, menurut Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), pasaran kerja dijangka stabil tahun ini susulan pemulihan pasaran buruh, dengan kadar pengangguran dilihat menurun kepada 3.6 peratus pada Disember.
Syed Hussain berkata, pengangguran akhirnya bergantung kepada situasi ekonomi, terutama sejauh mana prestasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun ini.
“Memandangkan 98 peratus perniagaan di negara ini terdiri daripada PKS, sokongan kerajaan sangat penting untuk membantu perniagaan terus bertahan, terutama selepas berdepan wabak Covid-19.
“Kita perlu tunggu dan lihat apa yang ditawarkan untuk PKS dalam Bajet 2023. Tahun ini bukan mudah bagi perniagaan, namun masih dapat ditangani,” katanya memetik laporan FMT.
Katanya, kelembapan dijangka berlaku dalam sektor pembuatan dan pembinaan, manakala perniagaan runcit dan perkhidmatan mungkin bergelut kerana bergantung kepada perbelanjaan domestik, selain ketibaan pelancong antarabangsa.
Katanya, jika orang ramai mengurangkan perbelanjaan akan menyaksikan lebih banyak pemberhentian pekerja berlaku dalam sektor terbabit.
“Sekiranya kita dapat mencapai sasaran pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), sepatutnya okey,” katanya.
Bank Negara Malaysia menganggarkan ekonomi berkembang antara 4 hingga 5 peratus tahun ini.
Presiden FMM, Soh Thian Lai berkata, pihaknya tidak menjangkakan sebarang pemberhentian pekerja secara besar-besaran pada tahun ini.
Katanya, pertumbuhan ekonomi 8.7 peratus tahun lepas menjadi petunjuk yang baik bagi sektor perniagaan.
Dapatan awal menerusi kaji selidik FMM berhubung situasi perniagaan menunjukkan pasaran kerja kekal stabil walaupun prospek lemah bagi separuh pertama 2023.
“Bersandarkan usaha berterusan majikan melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja, dan sokongan kerajaan dalam membantu penganggur memperoleh kemahiran yang tepat untuk diambil bekerja, pasaran buruh kekal berdaya tahan dan kukuh pada 2023,” katanya.
Leave a Reply