Oleh BADLISHAH MAT
MAYAT penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dilaporkan hilang petang semalam ketika mandi-manda ditemukan lemas pada pukul 1.24 petang ini di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi.
Mangsa, Muhammad Fahmi Hafizi Zulkiflli, 20, yang berasal dari Mukim Tajar, Langgar di Alor Setar ditemukan kira-kira 50 meter dari pantai berkenaan oleh pasukan penyelamat.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, identiti mangsa disahkan ibu, ibu saudara dan sepupu mangsa yang berada di lokasi kejadian.
“Pengesahan kematian dibuat oleh kakitangan perubatan sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, mangsa yang merupakan penuntut Kejuruteraan Penerbangan di UniKL MIAT, Jenderam Hulu, Selangor bersama beberapa rakan sedang berenang di pantai tersebut sebelum didapati dia tiba-tiba lemas.
Difahamkan, rakan mangsa yang lain cuba menyelamatkannya, namun gagal kerana ombak yang kuat di kawasan kejadian.
Mangsa baru dua minggu berada di pulau pelancongan tersebut untuk menjalani latihan amali.
Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan seramai 69 pegawai dan anggota melibatkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Leave a Reply