PERSATUAN Solidariti Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) mengingatkan semua agensi pelancongan berlesen agar tidak cuba menjadi jaguh dengan menjual pakej umrah dengan harga rendah.
Presidennya, Dr. Fathir Badri Alhadad berkata, semua agensi pelancongan berlesen perlu mematuhi harga lantai baharu pakej umrah yang disyorkan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) dan diperakui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“SAFTTA menyambut baik dan menyokong pengesyoran Papuh mengenai harga lantai bagi pakej ekonomi umrah bermula daripada RM7,800 manakala bagi pakej VIP bermula dari RM14,000 bagi setiap jemaah.
“Ini memandangkan kos pengendalian jemaah umrah seperti harga hotel serta pengangkutan di Mekah dan Madinah yang melambung tinggi menyebabkan para pengendali umrah berlesen tidak dapat bertahan dengan harga sebelum ini.
“Bayangkan jika harga hotel lima bintang sebelum ini antara RM700 hingga RM1,000 tapi kini harganya antara RM1,600 hingga RM2,000 bagi setiap bilik satu malam,” katanya menerusi kenyataan.
Papuh baru-baru ini menetapkan harga lantai bagi pakej umrah ekonomi bermula daripada RM7,800, manakala pakej umrah premium atau VIP bermula RM14,000.
Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ahli Papuh mencapai kata sepakat meletakkan harga lantai itu susulan kenaikan harga tiket penerbangan dan hotel penginapan di Madinah dan Mekah.
Berikutan itu, Fathir turut mengingatkan bakal jemaah umrah supaya jangan hanya melihat pada harga pakej yang rendah untuk membuat tempahan bagi mengelakkan mereka tertipu.
“Jemaah kena pastikan syarikat tersebut mempunyai lesen dan menawarkan harga yang wajar dalam keadaan semasa,” tegasnya, lapor UtusanTV.
Mengulas lanjut, Fathir memberitahu, peningkatan harga pakej umrah tersebut juga sebabkan permintaan yang tinggi daripada jemaah dari seluruh dunia.
Justeru, katanya, harga berkenaan tidak dapat dikawal kerana di luar bidang kuasa agensi berkaitan di Malaysia.
Leave a Reply