Empat pegawai Imigresen ditahan bantu seludup warga Indonesia disenarai hitam

KEGIATAN sindiket menyeludup masuk warga asing yang disenarai hitam dengan dibantu pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) terbongkar dalam Operasi Kenyalang (Op Kenyalang) dijalankan di Bintulu, Sarawak, kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata operasi yang dijalankan pasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya dan pegawai operasi Imigresen Sarawak pukul 9.45 malam menahan empat pegawai Imigresen dan 63 warga Indonesia termasuk seorang ketua sindiket.

“Ops Kenyalang dilaksanakan selepas pihak imigresen mengadakan pemerhatian dan risikan hampir tiga bulan.

“Dalam operasi itu, kami menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun yang dipercayai ketua sindiket berkenaan ketika dia menguruskan warga asing di rumah penampungan.

“Kami juga menahan 63 warga Indonesia terdiri daripada 37 lelaki dan 26 wanita berusia antara 22 hingga 52 tahun. Seramai 30 orang ditahan di rumah transit berkenaan.

“Dalam serbuan itu, kami merampas wang tunai berjumlah RM25,000 dan 3 juta rupiah (RM876),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, seramai 33 lagi individu ditahan ketika pemeriksaan bas di sekitar Bintulu.

Pemeriksaan itu katanya, dilakukan terhadap dua bas yang disyaki membawa warga asing berdasarkan maklumat diterima.

Menurutnya, dalam operasi sama, pihaknya menahan empat pegawai Imigresen yang disyaki terbabit dengan sindiket berkenaan.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati warga asing yang ditahan dalam operasi itu adalah individu yang disenarai hitam dalam sistem Imigresen daripada memasuki Malaysia.

“Semua individu yang ditahan juga didapati mempunyai tiket penerbangan ke Kuala Lumpur.

“Modus operandi sindiket ini adalah mengatur pergerakan masuk warga asing yang disenarai hitam dengan dibantu oleh pegawai Imigresen,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, sindiket itu menguruskan antara 30 hingga 40 orang bagi setiap kali kemasukan.

“Pegawai Imigresen yang terbabit akan menurunkan cap keselamatan ke atas pasport warga asing berkenaan bagi memastikan perjalanan mereka selamat ke destinasi.

“Warga asing yang sudah mendapat cap keselamatan itu seterusnya akan dibawa ke rumah-rumah transit yang ditetapkan oleh sindiket.

“Mereka kemudian akan dibawa ke lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dan Lapangan Terbang Bintulu sebelum meneruskan perjalanan ke Semenanjung melalui laluan domestik,” katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, sindiket itu sudah beroperasi hampir lapan bulan lalu iaitu apabila pintu sempadan negara dibuka.

“Warga asing yang mahu masuk ke Malaysia dikenakan bayaran antara RM5,000 ke RM6,000 seorang yang membolehkan sindiket berkenaan dipercayai mengaut keuntungan kira-kira RM80,000 sebulan.

“Semua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara tidak sah.

“Empat pegawai Imigresen dan ketua sindiket itu pula disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

Khairul berkata, pihaknya akan terus memburu sindiket yang terbabit dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar kesalahan di bawah akta berkaitan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *