POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dua syarikat agensi pekerjaan yang sah di negara ini di bawah Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) PDRM.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, dua syarikat terbabit dipercayai antara dalang sindiket penipuan pekerjaan rakyat Malaysia ke Thailand.
“Kita tengah siasat di bawah unit ATIPSOM mengapa syarikat-syarikat ini sanggup menjalankan, merekrutkan pekerja untuk dihantar ke luar negara, sehinggakan mangsa terkandas di negara itu, ini dalam siasatan.
“Dua syarikat telah disiasat, kita nak tengok, mereka ini merekrut (warga asing juga) datang ke Malaysia sebagai pembantu rumah, buruh ladang.
“Mereka (agensi pekerjaan) ada lesen, dia orang ambil kesempatan eksport rakyat Malaysia (ke negara jiran),” jelasnya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Konsular, Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri, Datuk Mohamad Ali Selamat.
Ujarnya lagi, PDRM dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) dan pihak berkuasa Thailand akan terus menyiasat bagi mencari dalang sindiket yang memangsakan rakyat Malaysia di negara itu,
“Berbagai sindiket, di sini kita nak cari dalang sindiket, saya percaya ada di Malaysia dan Thailand.
“Mereka kerjasama antara satu sama lain, dalang itu kemungkinan dalang di Thailand, kita dapat tangkapan dua sindiket di Malaysia dalam bulan lepas.
“(Mereka) bertopengkan agensi pekerjaan yang sah, kita akan bersama Jabatan Buruh (menyiasat),” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, tambah Abd Jalil, seramai lima rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Thailand selamat tiba di KLIA hari ini.
Jelasnya, mangsa dibawa menaiki penerbangan dari Bangkok, Thailand diiringi anggota PDRM dan Kementerian Luar Negeri.
“Lima mangsa telah selamat sampai ke KLIA membawa hasil berjaya juga dalam misi menyelamatkan mangsa-mangsa job scammer atau penipuan kerja di luar negara khasnya daripada negara Thailand.
“Lawatan ini hasil usaha disusuli kejayaan Perdana Menteri bersama dengan Menteri Dalam Negeri pada minggu lepas ke Thailand pada 19 Februari 2023.
“Hasil lawatan Perdana Menteri pelbagai perkara berjaya kita rungkaikan kejayaan membawa pulang lima orang mangsa penipuan kerja di Thailand,” katanya lagi lapor Astro Awani.
Leave a Reply