Bila Zahid nak saman Raja Petra isu skandal LCS, soal Sayap Bersatu

KETUA penerangan sayap Bersekutu Bersatu, S Subramaniam mempersoalkan bilakah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengemukakan saman fitnah terhadap Raja Petra Kamarudin atau lebih dikenali sebagai RPK.

Ini berikutan penulis blog itu mendakwa Zahid menerima sogokan RM67 juta dalam projek bermasalah kapal tempur pesisir (LCS).

“Pada hari penamaan calon (PRU lalu), Zahid berkata dia akan mengemukakan saman fitnah terhadap RPK.

“Namun sehingga hari kini setahu pengetahuan kami tidak ada sebarang notis saman diserahkan kepada penulis blog itu.

“Jadi kami nak tahu bila Zahid nak saman RPK demi menegakkan kebenaran dan bahawa dakwaan RPK itu tidak benar dan fitnah,” katanya kepada Malaysiakini.

5 Nov tahun lalu, Zahid yang juga presiden UMNO memberitahu pemberita bahawa dia sedia menyaman Raja Petra.

Ini selepas penulis blog itu mendakwa dia memiliki bukti menunjukkan kira-kira SGD20 juta telah dibayar secara berperingkat oleh kontraktor kepada Zahid antara pertengahan 2012 dan pertengahan 2013.

Zahid adalah Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013.

Penulis blog itu mendakwa sogokan dibayar melalui pengurup wang di Singapura, yang memindahkan wang itu kepada pengurup wang di Malaysia.

Dia mendakwa wang itu juga telah melalui beberapa lapisan sebelum sampai ke tangan Zahid.

“Sebelum membuat tuduhan beliau (Raja Petra) perlu mempunyai bukti atau dokumen untuk mengemukakan tuduhan itu.

“Jika tidak saya akan mengemukakan saman malu pada beliau dan saya akan meminta peguam-peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” kata Zahid ketika itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 3 Nov tahun lepas berkata, suruhanjaya itu akan bertemu Raja Petra sebelum memutuskan apakah perlu memanggil Ahmad Zahid untuk disoal siasat berhubung kontrak LCS itu.

Azam juga berkata pihaknya perlu meneliti dokumen yang diperolehi terlebih dahulu.

Katanya, pasukan SPRM ditugaskan untuk bertemu Raja Petra di lokasi di luar negara yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Menurutnya, siasatan tersebut merupakan sebahagian daripada siasatan SPRM ke atas kes LCS.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *