Tidak serik ditangkap, kembali aktif jual air ketum

SEORANG lelaki tiga kali pernah ditangkap sebelum ini namun tidak pernah serik menjual air ketum yang telah diproses.

Suspek merupakan seorang daripada lima lelaki yang ditahan pihak polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Medan, Petaling Jaya, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam tangkapan pukul 6 petang itu, sebanyak 92 botol plastik lutsinar yang dipercayai berisi cecair disyaki air ketum dirampas.

“Semua botol bersaiz 1.5 liter air ketum itu dianggarkan berisipadu 138,000 mililiter.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada pelbagai peralatan untuk memasak ketum dan 92 botol yang mengandungi air ketum serta daun ketum yang dirampas selepas berjaya menahan lima suspek yang terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Menurutnya, polis turut merampas 10 bungkus plastik mengandungi 50 kilogram daun ketum.

“Kesemua suspek berusia 23 hingga 37 tahun yang ditahan akan direman sehingga esok.

Sebahagian daripada 92 botol mengandungi air ketum yang berjaya dirampas selepas polis menahan lima suspek yang terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum ketika Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3,340 dan boleh membekalkan kepada 1,326 orang pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, suspek utama mempunyai tiga rekod lampau bersabit kes di bawah Akta Racun 1952 (Pindaan 2022), selain tujuh rekod jenayah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid GAMBAR: Warta Rakyat

Katanya, suspek berusia 30-an itu pernah ditangkap sebanyak dua kali pada 2017 dan terakhir ditahan pada 2019.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kembali aktif menjual air ketum sejak dua atau tiga bulan sebelum ditangkap.

“Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (Pindaan 2022) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama.

“Sabit kesalahan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *