Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2023 dibuka untuk semakan – SPR

DAFTAR Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2023 (DPT BLN1/2023) yang telah diperaku dan diwartakan, dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai hari ini hingga 18 Mac depan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata DPT BLN1/2023 mengandungi 39,604 nama warganegara berumur 18 tahun ke atas bagi tempoh 1 hingga 31 Jan yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 10,092 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,769 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

Semakan juga boleh dibuat menerusi aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau menghubungi hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218.

SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Jan dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2023.

“Sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2023, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Ikmalrudin berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih, boleh membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Menurutnya borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN1/2023.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *