AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO pada pemilihan parti akan datang.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira berkata, hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.
Beliau akan menyerahkan borang pencalonannya pada Jumaat.
“Berjalan dengan lancar semuanya. Semua saya sudah maklumkan. Aturan kita kena ikut, walaupun kita menawarkan diri, tetapi perlu ada unsur demokrasi itu.
“Saya turut dimaklumkan presiden, terdapat empat individu yang menghantar borang pencalonan, tapi tak pasti jumlah itu termasuk saya atau tidak,” katanya selepas menghadiri mesyuarat MKT di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.
Selain Khaidhirah, turut dilapor menawarkan diri bertanding jawatan itu adalah Exco Puteri UMNO, Fadhwa Anuar, Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Dr. Masliha Harun dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, sambutan terhadap pemilihan parti kali ini amat menggalakkan.
“Setakat ini, saya tidak dapat beritahu jumlah calon bertanding secara spesifik, sedangkan saya pun tak berapa ingat jumlahnya,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat MKT malam tadi memfokuskan pemilihan parti, antaranya etika berkempen.
“Buat kempen positif, tak mahu kempen negatif. Nanti parti lawan tengok, itu tak baiklah,” katanya, lapor FMT.
Pencalonan jawatan peringkat Pusat bagi pemilihan UMNO tahun ini bermula 13 Februari lalu dan akan berakhir 26 Februari ini.
Pemilihan UMNO di peringkat bahagian dan tiga sayap pada 11 Mac ini, manakala UMNO bahagian serta MKT pada 18 Mac nanti.
Leave a Reply