‘Panas tak apa, jangan koyak’, sindir MP PN kepada MP DAP

AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN), Dr Siti Mastura Muhammad berjaya menarik minat ramai Ahli Parlimen (MP) untuk cuba ‘mencelah’ pada penyertaan perbahasan pertamanya hingga mengakibatkan sesi pada sebelah petang gamat seketika.

Lapor Berita Harian, beberapa Ahli Parlimen kerajaan khususnya dari Pulau Pinang berulang kali mencelah perbahasan bertenaga Siti Mastura (PN-Kepala Batas) yang kali pertama menjadi Ahli Parlimen selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang itu enggan melayan sebarang celahan berkenaan, sebaliknya meminta Ahli Parlimen kerajaan untuk mendengar perbahasannya.

Dewan Rakyat bertukar panas ketika lulusan Universiti Al-Azhar di Mesir itu menyentuh isu tiga pengguna TikTok wanita yang didakwa diserang dan diganggu selepas memuat naik kandungan menyerang pimpinan kerajaan.

Apakah pendirian Menteri Komunikasi dan Digital berkenaan isu buli tiga ‘TikTokers’ wanita yang berdepan serangan maklumat peribadi, ‘body shaming’.

“Dalam hal ini, kita harap kementerian tidak menunjukkan dwistandard walaupun mereka ini adalah TikTokers yang menyokong Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja.

Isu itu menyebabkan semakin ramai Ahli Parlimen kerajaan bangkit untuk mencelah dan mempersoalkan mengenai isu tiga pengguna TikTok wanita itu, yang didakwa menyebarkan maklumat tidak benar berhubung isu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat.

Tidak berpuas hati dengan tindakan Siti Mastura yang enggan membenarkan celahan, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun dan mendakwa ucapan Ahli Parlimen Kepala Batas itu melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Peraturan 36(12) menyebut mana-mana ahli Dewan yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Dewan,” katanya mendakwa Siti Mastura juga pernah menggunakan TikTok untuk mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Namun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau enggan melayan celahan Rayer, sebaliknya terus meminta Siti Mastura meneruskan perbahasannya.

“Yang Berhormat, sila duduk. Biar Yang Berhormat Kepala Batas habiskan ucapannya,” kata Alice yang juga Ahli Parlimen Lanang.

Siti Mastura kemudian bangun untuk meneruskan ucapannya sambil menyindir Rayer dan Ahli Parlimen kerajaan lain yang tidak berpuas hati dengannya dengan berkata: “Terima kasih tuan Yang Dipertua. Panas tak apa, tapi jangan koyak.”

Sindiran berkenaan menyebabkan beberapa Ahli Parlimen kerajaan enggan duduk dan terus mengganggu perbahasan Ahli Parlimen Kepala Batas itu, sebelum Alice sekali lagi meminta semua pihak duduk dan menghentikan gangguan itu.

“Sesiapa yang ingin rehat, sila keluar. Jangan bising,” kata Alice secara sinis, sebelum keadaan Dewan kembali tenang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *