Kehilangan, pembaziran RM158.08 juta dikesan di tiga kementerian, empat jabatan

JABATAN Audit Negara mengesan kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran berjumlah RM158.08 juta di tiga kementerian serta empat jabatan Persekutuan yang diaudit bagi tahun 2021.

Menurut Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, tiga kementerian yang diaudit pematuhan itu adalah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) dan Kementerian Pertahanan.

Selain itu katanya, empat jabatan terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Nik Azman berkata, pengauditan pematuhan itu membabitkan jumlah semakan audit sebanyak RM1.127 bilion.

Katanya lagi, pengauditan dibahagikan kepada kategori Terimaan dengan jumlah semakan sebanyak RM78.86 juta dan kategori Bayaran dengan jumlah semakan RM1.048 bilion.

“Isu yang membabitkan kehilangan atau kerugian wang awam adalah sejumlah RM116.95 juta, pembayaran tidak teratur sejumlah RM26.03 juta dan pembaziran sejumlah RM15.10 juta.

“Ketua Audit Negara mengemukakan 22 syor untuk tindakan penambahbaikan oleh kementerian dan jabatan persekutuan berkaitan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2, hari ini.

Nik Azman berkata secara keseluruhannya, terdapat kelemahan dalam kutipan duti kastam bagi kenderaan import di Pulau Bebas Cukai (PBC)) dengan duti kastam berjumlah RM72.32 juta terkutip kurang disebabkan syarat pemastautin dan pemilikan kenderaan tidak dipatuhi serta pengiraan duti eksais tidak tepat.

Beliau berkata, audit itu dijalankan di Langkawi dan Labuan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *