Oleh BADLISHAH MAT
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan Datuk Mahfuz Omar lebih layak untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga atau Kota Darul Aman.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu lebih sesuai bertanding di salah satu kerusi berkenaan kerana beliau perlu bergantung kepada undi kaum Cina yang ramai di kawasan itu untuk menang.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau selesa untuk terus bertanding di DUN Jeneri yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Saya dah ada DUN saya di Jeneri, kampung saya di situ, adik-beradik saya di situ. Dia (Mahfuz) saya tak tau kampung mana, adik-beradik dok (tinggal) mana, pasaipa (kenapa) dia suruh saya pi situ (bertanding).
“Cadangan biar munasabah dan masuk akal, bagi dia lah bertanding di situ sebab Mahfuz sesuai kerana dia pun akhir-akhir ini bergantung kepada undi (orang) Cina untuk menang. Kalau (pengundi) Cina tak sokong dia dia pun tak menang.
“Bagi dia Kota Darul Aman atau Derga kalau dia nak jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ada harapan dia jadi wakil rakyat (apabila) bertanding di tempat pengundi Cina ramai sebab pengundi Melayu tak mau dia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Tanah dan Perasmian Kampung Sejahtera di Teloi, Sik hari ini.
Terdahulu, Muhammad Sanusi dicabar Mahfuz untuk meninggalkan DUN Jeneri dan bertanding di Derga atau Kota Darul Aman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak bagi membuktikan sokongan keseluruhan rakyat Kedah terutama di kawasan yang dianggap sukar untuk menang.
Mahfuz berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi memperlihat dirinya sebagai seorang Menteri Besar yang memiliki sokongan masyarakat secara menyeluruh dari rakyat Kedah.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi meminta Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer untuk berterusan membuat laporan polis terhadapnya berkaitan Pulau Pinang yang merupakan negeri pajakan kepada Kedah.
“Faktanya adalah bayaran pajakan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan bagi pihak Pulau Pinang sebanyak RM10 juta (sumbangan khas) dan RM10,000 (royalti) sebagai bayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah.
“Jadi kalau tak pajak, bayar buat apa, Rayer buta sejarah tak tau apa. Buatlah laporan (polis) 100 kali pun memang faktanya macam itu,” katanya.
Leave a Reply