248 jam terperangkap runtuhan gempa, remaja perempuan ditemui selamat

KISAH keajaiban terus dilaporkan berlaku di lokasi terjejas gempa di Turkiye apabila mangsa masih hidup ditemukan walau sudah lebih seminggu terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan.

Kali ini, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun selamat dibawa keluar dari runtuhan bangunan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas lebih 248 jam terperangkap di Antakya, Turkiye hari ini.

Astro AWANI yang memetik agensi antarabangsa, mangsa itu berjaya ditemui, namun dikatakan dalam keadaan lemah akibat kecederaan dan dehidrasi.

Mangsa dilihat dibawa keluar dari kawasan runtuhan, ditutup dengan selimut haba oleh pasukan menyelamat sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sebelum ini, beberapa mangsa turut ditemui selamat di sekitar Turkiye, sekali gus dilihat menjadi penyuntik semangat buat pasukan SAR terus mempertingkatkan usaha mereka.

Bagaimanapun, belum ada angka rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Turkiye dan Syria berhubung jumlah sebenar mangsa yang masih hilang.

Sehingga kini, lebih 42,000 mangsa disahkan maut dalam kejadian gempa bumi di dua negara itu dan lebih 12,000 bangunan di Turkiye dilaporkan hancur atau rosak.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *