“Rakyat bukan nak lihat anak Menteri, anak PM pegang jawatan, rakyat nak lihat Menteri dan PM buat kerja untuk rakyat” – Muhyiddin

DALAM keadaan rakyat yang kini dihimpit pelbagai kesulitan kehidupan, kerajaan digesa berhenti bermain politik dan membuat keputusan-keputusan ‘cakap tak serupa bikin’.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu, kerajaan juga berhenti daripada mengutama dan memperkenalkan dasar-dasar yang tidak membantu keperluan rakyat yang mendesak pada ketika ini.

“Misalnya, tiba-tiba ada dasar Menteri-Menteri boleh lantik anak beranak sebagai pegawai.

“Walaupun tidak mengambil gaji, pelantikan ini boleh menimbulkan percanggahan kepentingan, atau dengan izin ‘conflict of interest’ dan berbaur nepotisme,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional seterusnya mempersoalkan untuk apa dasar itu diperkenalkan.

“Ianya tiada kaitan langsung dengan keperluan rakyat yang mendesak pada ketika ini. Rakyat bukan nak lihat anak Menteri, anak Perdana Menteri, memegang jawatan dalam kerajaan.
“Mereka nak lihat Menteri dan Perdana Menteri buat kerja untuk rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata, sebaliknya kerajaan perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha untuk memajukan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat.

“Itulah tugas hakiki kerajaan. Dengarlah suara rakyat yang mahukan pembelaan. Misalnya, apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini.

“Begitu juga dengan moratorium pinjaman bank. Bank-bank terus membuat untung walaupun ketika negara berhadapan dengan krisis.

“Apalah salahnya jika bank-bank turut sama membantu rakyat dengan melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban rakyat akibat kesan inflasi dan kenaikan OPR,” katanya, lapor SatuBerita.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *