DATUK Seri Anwar Ibrahim perlu menghentikan segera amalan nepotisme dan kronisme apabila melantik anak perempuannya Nurul Izzah ke dalam jawatan kerajaan meskipun tanpa bayaran elaun dan gaji.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoal tindakan Perdana Menteri yang dilihat memindahkan lantikan anak sulungnya itu daripada Pejabat Perdana Menteri kepada Kementerian Kewangan sekaligus membuktikan kerajaan sedang mengamalkan nepotisme.
“Bahkan sejak penubuhan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) sudah ‘tidur sebantal’ dengan Barisan Nasional (BN) sehingga sanggup melanggar prinsip yang diperjuangkan selama ini untuk melawan amalan-amalan tersebut.
“Ini bukan soal layak atau tidak atau emolumen tidak diberi, tetapi ini soal risiko wujudnya konflik kepentingan di dalam urus tadbir kerajaan.
“Sebagai ketua sekretariat, sudah pasti (Nurul Izzah) ada kemudahan dan akses kepada kerja-kerja yang dijalankan oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya pada satu sidang media di Parlimen, hari ini.
Sebelum ini Nurul Izzah mengesahkan tidak lagi berkhidmat sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri.
Beliau yang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam usaha mempertahankan Parlimen Permatang Pauh dilaporkan menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan atas jemputan daripada pengerusinya Hassan Marican.
Sekretariat itu berperanan menasihati menteri kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus.
Ianya juga bertanggungjawab menasihati kementerian mengenai perkara berkaitan subsidi, menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada dan penyediaan perlindungan sosial yang lebih holistik.
Selain itu membabitkan perkara berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk menentukan kaitannya dalam konteks semasa dan menyatukan yang mana sesuai dan perkara berkaitan hutang negara dan tadbir urus yang baik.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, atas sebab itu sekiranya Amwar membiarkan lantikan berkenaan hanya mengundang tindakan yang amat memalukan kepada negara khususnya negara-negara kelas ketiga kerana tidak pernah mengamalkan amalan tersebut.
“Kalau dibanding dengan negara-negara luar termasuk Burundi dan Kiribati, realitinya tidak pernah dibuat seperti yang dibuat oleh pemimpin Malaysia Madani,” katanya, lapor MalaysiaNow.
Leave a Reply