Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG pemilik gudang tidak hanya mengalami kerugian hampir RM100,000 malah turut melecur setelah premis miliknya itu terbakar di Kampung Batu 4, Sanglang dekat Kubang Pasu, Kedah, hari ini.
Menurut Azli Che Ahmad, 44, kejadian itu berlaku ketika dia bersama empat pekerjanya sedang mengimpal besi dinding gudang tersebut.
Begitu pun katanya, percikan api kimpalan tersebut jatuh ke atas jerami, mengakibatkan kebakaran berlaku.

“Kami kemudiannya berusaha memadamkan kebarakan namun angin kencang menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat.
“Saya lalu cuba mengeluarkan jentera pengangkut jentera tersebut tiba-tiba tersangkut. Ketika itulah tangan kanan saya disambar api menyebabkannya melecur sedikit,” katanya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karuddin ketika dihubung memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 10.21 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak dan terdapat seorang mangsa melecur di tangan kanan. Pihak kami terus berusaha memadamkan kebakaran sementara mangsa dibawa kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke klinik kesihatan terdekat bagi mendapatkan rawatan.
“Api kemudiannya berjaya dikawal kira-kira pukul 12 tengah hari daripada merebak ke kawasan rumah yang terletak 100 meter daripada guang terbabit. Namun kejadian itu turut memusnahkan dua kenderaan iaitu sebuah jentera pengangkut dan motosikal,” katanya.
Katanya, pemantauan awal mendapati gudang terbabit musnah hampir 60 peratus.
Leave a Reply