Muhyiddin Pekan Parlimen

Muhyiddin ingatkan Anwar jangan salah guna kuasa tekan PN

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menggunakan kuasa untuk membalas dendam politik dengan mencari kesalahan tidak wujud.

Katanya, politik dendam ini akan menghasilkan kesan yang amat buruk.

“Saya perhatikan kepimpian kerajaan hari ini cenderung untuk mengambil tindakan-tindakan berbentuk, dengan izin, witch-hunting, atau mencari kesalahan kerajaan dahulu yang sebenarnya tidak wujud.

“Melemparkan tuduhan yang bukan-bukan. Kononnya saya seleweng RM600 bilion. Kemudian turun nilainya kepada RM92.5 bilion. Kemudiannya turun lagi kepada RM4 billion hingga RM5 bilion. Yang terakhir RM300 juta. Apa ini? Angka yang berubah-ubah ini keluar dari mulut Perdana Menteri sendiri.

“Seolah-olah Perdana Menteri pun tidak pasti apa yang dia tuduh. Kalau tidak pasti, jangan tuduh sebarangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin sekali lagi menegaskan, beliau tidak ambil wang rakyat walau satu sen pun masuk ke koceknya.

“Boleh siasat, tetapi jangan samakan saya dengan yang lain. Jangan samakan parti saya dengan parti yang lain. Saya nak ingatkan Tambun (Anwar) jangan salah guna kuasa sebagai Perdana Menteri untuk menekan saya dan Perikatan Nasional,” katanya yang juga bekas Perdana Menteri.

Beliau juga mengingatkan Anwar pernah didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan dirinya sendiri.

“Maaf, bukan niat saya untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap Tambun. Itu sejarah lampau.

“Sekarang, dengan izin Allah s.w.t jua, Tambun kembali ke tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa. Dialah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia mahu, dan Dialah yang menarik kekuasaan daripada sesiapa yang Dia mahu.

“Tiada kuasa yang kekal melainkan kekuasaan Allah s.w.t. jua. Kuasa saya sebagai Perdana Menteri tidak kekal. Kuasa Tambun sebagai Perdana Menteri juga tidak akan kekal selama-lamanya,” tegasnya.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, Walaupun saban hari ditekan, kami di pihak pembangkang pastinya akan memainkan peranan semak dan imbang (check and balance) secara konstruktif.

“Sebagai pembangkang yang berwibawa, Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional akan terus memainkan peranan kami dengan penuh berintegriti dan menjunjung prinsip Bersih, Prihatin dan Stabil.

“Mana-mana dasar yang baik kami sokong. Mana-mana dasar yang memberi mudarat kepada rakyat kami tentang,” tegas Muhyiddin yang juga Pengerusi PN.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *