Menang ‘selfie’, kalah undi gamatkan hari pertama DJ KJ

SLOGAN ‘Menang ‘selfie’, kalah undi’ menggamatkan hari pertama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memulakan tugas sebagai penyampai HotFM, seawal pukul 6 pagi tadi.

Mengendalikan slot Bekpes Hot bersama Johan dan AG, hari ini, Khairy atau mesra disapa KJ, memulakan bicara dengan berkongsi butiran peribadi termasuk latar belakang pendidikan dan karier.

Ini termasuk pengalaman kecundang semasa bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.

Memetik BH, tampil santai dan ceria, Khairy atau lebih mesra disapa KJ mengaku buntu memikirkan masa depan akibat hilang pekerjaan berikutan kalah pada PRU15.

“Saya ingat menang sebab apabila pergi berkempen, ramai yang ajak ‘selfie’. Rupanya, saya kalah. Menang ‘selfie’ tapi kalah undi.

“Selepas kekalahan November lalu, saya tak tahu nak buat apa… Memang ‘jammed’ sebab fikir masa depan,” katanya pada segmen Bekpes Hot di HotFM, pagi tadi.

Seorang lagi penyampai, Fara Fauzana bagaimanapun sedang menunaikan ibadat umrah.

Pengakuan ‘Menang ‘selfie’, kalah undi’ oleh Khairy pantas menarik perhatian Johan dan AG apabila masing-masing menganggap itu sebagai slogan baharu yang sesuai dipromosikan.

Terus berkongsi kisah tewas pada PRU15, Khairy menyangka, sekalipun kecundang, beliau akan diberi pencen untuk tugas menteri yang pernah digalasnya.

“Sangka saya, walaupun kalah dalam pilihan raya, saya akan dapat pencen untuk tugas-tugas menteri yang pernah saya pikul sebelum ini.

“Rupa-rupanya, saya kena tunggu hingga usia mencecah 50 tahun baru boleh dapat pencen. Sekarang, saya baru 47 tahun. Maknanya kena tunggu tiga tahun lagi.

“Disebabkan itu, saya terima tawaran untuk jadi DJ Hot FM ini,” katanya.

Menerusi segmen Siyeslah yang sebelum ini dikendalikan Fara, Khairy berkongsi maklumat ringkas mengenai otot manusia.

Ketika diusik AG apakah perasaan apabila pendengar memuji suaranya mampu ‘mencairkan’ hati pendengar, Khairy tergamam seketika.

“Tak tahu,” jawabnya sambil tertawa.

Sebelum ini, dilaporkan, kemunculan Khairy sebagai penyampai Hot FM adalah untuk memberi keseimbangan kepada slot Bekpes Hot dengan membincangkan topik serius dan menyampaikan maklumat menarik untuk dikongsi bersama pendengar.

Kisah KJ bakal menjadi DJ HotFM mula diperkatakan selepas Hot FM membuat tawaran kepada Khairy menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 pagi hingga 10 pagi.

Susulan itu, Media Prima Audio (MPA) mengesahkan Khairy akan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM serta bakal mengendalikan segmen Bekpes Hot, mulai hari ini.

Khairy kemudiannya turut mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *