Kerajaan perlu hentikan amalan nepotisme, kata Wan Saiful

PEMBANGKANG mendesak kerajaan supaya menghentikan amalan nepotisme dan kronisme dengan melantik individu yang mempunyai hubungan keluarga ke dalam jawatan kerajaan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor (Bersatu), Datuk Saiful Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan sebelum ini jelas membuktikan kerajaan sedang mengamalkan nepotisme.

Katanya, pelantikan Nurul Izzah Anwar adalah bertentangan dengan prinsip yang diperjuang selama ini iaitu menentang kronisme dan nepotisme, malah Perdana Menteri sanggup ‘tidur sebantal’ dengan Barisan Nasional (BN) terutama UMNO.

“Kami mengingatkan kepada Perdana Menteri agar bertindak segera dan jangan melihat negara ditadbir dengan amalan nepotisme dan kronisme apatalah lagi anak sendiri di dalam jawatan penting kerajaan.

“Ini bukan soal layak atau tidak atau emolumen (gaji) tidak diberi, tetapi ini soal risiko wujudnya konflik kepentingan di dalam urus tadbir kerajaan. Sebagai ketua sekretariat, sudah pasti (Nurul Izzah) ada kemudahan dan akses kepada kerja-kerja yang dijalankan oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, Nurul Izzah yang tewas di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengesahkan tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Nurul Izzah kini dilaporkan menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan setelah menerima jemputan daripada pengerusi Tan Sri Hassan Marican untuk mengetuai sekretariat itu secara bersama.

Jawatankuasa itu akan menasihati Menteri Kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan berperanan menasihati Menteri Kewangan mengenai perkara berkaitan subsidi, menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada dan penyediaan perlindungan sosial yang lebih holistik lapor Utusan Malaysia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *