Gempa Turkiye: 39 mangsa ditemukan pasukan penyelamat Malaysia

SEBANYAK 39 mangsa gempa bumi Turkiye berjaya ditemukan pasukan penyelamat Malaysia bagi Misi Bantuan Mencari dan Menyelamat (SAR) sepanjang lapan operasi dijalankan di Gaziantep, Turkiye.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi satu kenyataan berkata, daripada 39 mangsa yang ditemukan, lima daripadanya masih hidup manakala selebihnya telah meninggal dunia.

“Seramai 143 orang pegawai daripada Malaysia yang menyertai Ops SAR Turkiye pada kali ini termasuk tiga pengamal media.

“Pasukan MAS 01 dianggotai oleh enam orang pegawai JBPM dan 64 orang pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

“Manakala, pasukan MAS 10 pula dianggotai oleh 30 orang pegawai JBPM, 20 orang pegawai SMART, 20 orang pegawai Angkatan Pertahan Awam (APM) serta tiga orang pengamal media,” katanya hari ini.

Kata kenyataan itu, kesemua pegawai ditempatkan di Base Camp, Nurdagi Stadium, Gaziantep, Turkiye.

“Kesemua 36 pegawai JBPM berada dalam keadaan yang sihat dan baik malah cuaca juga cerah dengan suhu 4 darjah Celsius,” tambah kenyataan itu lagi.

Wisma Putra semalam memaklumkan, Malaysia menghantar 142 anggota penyelamat dan dua ekor anjing pengesan (K9) bagi menyertai misi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye, sekali gus menjadi pasukan operasi pertama dari negara ASEAN yang tiba di negara itu.

Pasukan itu diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang turut disertai SMART, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JBPM dan APM itu antara yang terawal sampai di tapak bencana di Gaziantep.

Dua gempa bumi kuat berukuran 7.8 dan 7.6 magnitud yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin minggu lalu meragut ribuan nyawa.

Angka kematian akibat gempa bumi di selatan Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang, manakala jumlah mangsa cedera seramai 40,910 setakat ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *