PN Negeri Sembilan perkukuh jentera hadapi PRN – Ahmad Faizal

PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan bekerja keras membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurut Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, untuk itu katanya, PN Negeri Sembilan telah mengadakan dua kali program ‘Semarak Kebangkitan’ setakat ini.

Ia katanya antara usaha gabungan itu untuk memperkukuhkan jentera di semua peringkat.

“Dalam masa yang sama kami di peringkat pusat sedang memperhalusi pembahagian kerusi dalam kalangan parti-parti komponen dalam PN.

“Insya-Allah ia tidak begitu sukar dan dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat,” katanya, lapor Harakahdaily.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Semarak Kebangkitan Rakyat di Taman Tasik Jaya, Senawang, semalam.

Hadir sama Pengerusi PN Negeri Sembilan Datuk Eddin Syazlee Shith dan Pesuruhjaya Pas negeri Rafiei Mustapha.

Negeri Sembilan merupakan antara negeri sasaran PN, selain Selangor dalam misi meluaskan pengaruh di kawasan pantai barat.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan pada 1 Jun depan, sekali gus memberi laluan kepada penganjuran PRN.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *