PN akan jadi pembangkang berwibawa demi rakyat, kata Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perikatan Nasional (PN) akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa dalam membawa suara rakyat ke Parlimen, selain menjalankan tugas semak dan imbang terhadap kerajaan.

Kata Pengerusi PN itu, ini bagi memastikan tadbir urus kerajaan sentiasa berintegriti, bebas daripada unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan kemajuan ekonomi negara.

“Tindakan ini juga selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil yang diperjuangkan Perikatan Nasional.

“Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional juga akan sentiasa komited untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan hidup rakyat terjamin serta demokrasi terus subur di negara ini,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau bersyukur kerana dapat hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 bersama Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Negara PN.

“Kami akan mengambil bahagian dalam Sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung mulai 13 Feb hingga 30 Mac dan Sidang Dewan Negara pada 21 Mac hingga 6 April.

“Seperti yang pernah saya nyatakan, semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara Perikatan Nasional akan memainkan peranan aktif dalam sesi kali ini terutama ketika perbahasan Belanjawan 2023 yang dijangka dibentangkan pada 24 Februari ini,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *