PELABUR asing terus menjual ekuiti Malaysia pada minggu lalu sebanyak RM512.3 juta sekali gus menjadi minggu kelima berturut-turut menjual bersih, menjadikan jualan bersih setakat ini kepada RM119.9 juta, demikian menurut MIDF Research.
Dalam laporan aliran dananya bagi minggu dagangan singkat berakhir 10 Februari 2023, firma penyelidikan itu berkata, jualan bersih terbesar di bursa tempatan adalah pada Selasa sebanyak RM220.57 juta dan jualan bersih terendah pula pada Khamis iaitu RM40.84 juta.
Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya ditutup pada Isnin berikutan cuti gantian Thaipusam.
MIDF Research berkata, sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih oleh pelabur asing pada minggu lalu ialah sektor tenaga iaitu RM26.4 juta dan sektor hartanah sebanyak RM3.9 juta.
Sebaliknya, sektor pembinaan, teknologi dan perkhidmatan kewangan mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi pada minggu lalu iaitu masing-masing pada RM724.6 juta, RM115.9 juta dan RM111.2 juta.
Sementara itu, institusi tempatan terus memperoleh ekuiti Malaysia dengan belian bersih berjumlah RM121.0 juta pada minggu lalu.
“Ini menandakan minggu kelima berturut-turut mereka membeli bersih. Insitusi tempatan membeli bersih pada setiap hari dengan belian bersih terbesar pada Selasa iaitu RM85.80 juta, diikuti Jumaat (RM34.63 juta) dan Khamis (RM25.74 juta).
“Setakat ini, institusi tempatan membeli bersih sebanyak RM937 juta,” katanya.
Peruncit tempatan turut kembali sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan belian bersih terbesar pada Selasa berjumlah RM134.78 juta, diikuti pada Rabu dan Jumaat dengan masing-masing pada RM57.15 juta dan RM56.76 juta, manakala belian bersih terendah dicatatkan pada Khamis iaitu RM15.09 juta .
Menurutnya, dari segi penyertaan, purata volum dagangan harian (ADTV) merosot secara menyeluruh dengan peruncit tempatan (-24.9 peratus), institusi tempatan (-22.5 peratus) dan pelabur asing (-22.3 peratus).-BERNAMA
Leave a Reply