BERULANGKALI Perdana Menteri menyatakan kepentingan untuk memartabatkan rakyat dan negara. Kesejahteraan kehidupan rakyat dan reputasi Malaysia di arena global mesti diperkukuhkan.
Saya mencadangkan Progam Madani B40 sebagai satu initiatif bersepadu dan komprehensif sebagai petanda komitmen bahawa kerajaan bertekad untuk menangani kesenjangan kehidupan rakyat berpendapatan rendah.
Sehingga kini tindakan masih bersifat adhoc, tiada kerangka dan tiada penyelarasan antara kementerian. Pelbagai inisiatif kos sara hidup, pendapatan, pendidikan, kemahiran, kesihatan, perumahan, peluang pekerjaan dan keusahawanan ditangani secara berasingan, lapor Utusan TV.
Lima langkah berikut untuk membangunkan Madani B40:
Pangkalan Data Madani B40: Bersihkan pangkalan data B40-perkelaskan kriteria, permudahkan pendaftaran dan perkukuhkan pengenalpastian.
Data Raya Madani B40:
Perincikan kefahaman ke atas status sosioekonomi, cabaran dan punca permasalahan B40. Analitik mikro dan penelitian yang sistematik perlu bagi menangani dengan berkesan.
Majlis Madani B40:
Perkukuhkan institusi dan tadbir urus kerajaan menangani cabaran B40. Wujudkan sekretariat yang berdedikasi menyusul tindakan, pemantauan dan pelaporan kepada kerajaan dan masyarakat.
Jaringan Madani B40:
Gerakkan inisiatif Madani B40 melalui jaringan-awam-swasta-NGO-komuniti, semarakkan ‘whole of nation’. Gemblengkan semua pemegang taruh. Libatkan semua untuk bersama terlibat. Galakkan ‘local problem-local solution’ dan inovasi sosial.
Global Madani Council (fikirkan jenama yang sesuai): Tingkatkan martabat negara dengan mewujudkan pelantar antarabangsa untuk menangani permasalahan sosial dunia ini-kumpulan berpendapatan rendah dan kemiskinan.
Malaysia menerajui gerakkan ini dan menjadi rujukan antarabangsa. Libatkan kepakaran dan tokoh antarabangsa. Jalinkan kerjasama dengan institusi antarabangsa yang tersohor dalam menangani cabaran sosial dunia ini.
Amanat Perdana Menteri MESTI direalisasikan. Jangan hanya retorik untuk didengar. Mesti ada gagasan tindakan. Yakinkan rakyat-kerajaan bertindak.
Semoga martabat rakyat dan negara diperkukuhkan.
Leave a Reply