Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
DUA lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing dekat Kluang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kemalangan pada pukul 4.12 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki tiga lelaki dan motosikal jenis Honda Wave ditunggang seorang lelaki.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta itu dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang manakala motosikal dari arah bertentangan. Apabila sampai di tempat kejadian di jalan selekoh, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

– Foto ihsan bomba Johor
“Kereta berkenaan kemudian bertembung dengan motosikal tersebut sebelum terbabas melanggar tiang lampu di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penumpang hadapan kereta berkenaan, V. Prashaanthan, 20, yang beralamat di Taman Cahaya Pelangi, Kluang cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, Pemandu kereta tersebut, B. Nantha Kumar, 30, yang beralamat di Taman Bersatu, Kluang, cedera parah di kepala, leher dan patah tulang belakang, kini berada di Zon Merah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang.

“Seorang lagi penumpang belakang yang merupakan adik kepada Nantha Kumar iaitu B. Sathis Kumar, 27, juga beralamat di Taman Bersatu patah tangan tangan kiri, cedera di muka dan berada di Zon Kuning HEBHK,” katanya.
Sementara penunggang motosikal tersebut katanya, T. Ravindran, 51, beralamat di Taman Kluang Jaya cedera di kepala, patah tangan kiri dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau menambah, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Jusoh Mohd. Salleh berkata, kemalangan tersebut berlaku berhampiran jirat Cina.
Menurutnya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan itu mengakibatkan ketiga-tiga mangsa dalam kereta tersebut tersepit. Selain itu kemalangan ini turut mengakibatkan penunggang motosikal berkenaan tersepit di bawah kereta,” ujarnya.

Pihak bomba katanya, bertindak mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut dengan menggunakan peralatan khas.
Jusoh memberitahu, pemandu kereta terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.
“Pihak bomba dibantu sebuah kren mengangkat kereta tersebut bagi mengeluarkan penunggang motosikal yang terperosok bawah kereta dan apabila dikeluarkan sudah meninggal dunia,” katanya.
Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia ujarnya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pukul 4.50 pagi.
Leave a Reply