‘Anggaplah dia epal busuk’, kata Chong Wei ulas kenyataan rasis Guang Yik

LEGENDA perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei kesal dengan kenyataan rasis oleh bekas pemain pelapis badminton negara, Bong Guang Yik.

Chong Wei menerusi hantaran di Facebook menekankan bahawa sukan mengangkat rasa hormat dan tidak menerima sebarang sikap perkauman.

Beliau turut menasihatkan agar mana-mana pihak tidak menghancurkan keharmonian rakyat yang erat hanya untuk dikenali ramai.

“Jangan sesekali demi mengejar nak terkenal, sanggup menghancurkan keharmonian rakyat yang erat. Bukan dibina sehari dua, tetapi berdekad-dekad.

“Anggaplah dia (Guang Yik) sebiji epal busuk, kawan-kawan,” katanya, lapor Astro AWANI.

Dalam pada itu, Chong Wei turut berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kerana pantas mengendalikan isu ini.

Hannah, menerusi respons awalnya berkenaan isu itu, mengecam keras kenyataan bersifat rasis yang dikeluarkan Guang Yik.

“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.

“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia,” katanya Hannah mengulangi pendirian bahawa sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.

Kenyataan rasis Guang Yik menjadi tular sejak kelmarin melalui perkongsian video berdurasi satu minit 34 saat pemilik akaun tik tok @Ahboybadminton.

Menerusi klip video yang dimuat naik berdurasi 1 minit 17 saat itu, Guang Yik yang kini menetap di China mendakwa, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menunjukkan kemajuan kerana dikuasai oleh orang Melayu dan amalan berat sebelah.

Katanya lagi, ibadah solat lima waktu yang dijalankan pegawai dan petugas menjadi antara punca kelemahan pengurusan tertinggi BAM, hingga tidak dapat memberi tumpuan penuh pada aspek latihan pemain seterusnya menghasilkan keputusan positif untuk negara.

Guang Yik juga dalam komentar kontroversinya mendakwa, semua sumber BAM telah disalurkan kepada Datuk Lee Chong Wei sewaktu jaguh badminton negara itu di puncak karier, hingga melupakan usaha membangunkan generasi pemain pelapis.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *