Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
SEJAK memperoleh kuasa tidak sampai beberapa bulan, DAP yang dominan dalam kerajaan Perpaduan amat lantang dalam menyatakan agenda mereka yang terbuku satu persatu.
Terbaru kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy meminta kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim supaya memecahkan monopoli Melayu dalam pentadbiran awam.
Kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu, dasar perkauman sedemikian tidak lagi boleh dipertahankan terutama ketika kerajaan Perpaduan berada di tampuk kuasa.
Walaupun Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengatakan kenyataan Ramasamy sebagai pandangan peribadi, penulis melihat Ramasamy sebagai jurucakap kepada DAP dan apa yang disampaikan itu adalah hasrat parti itu sebenarnya.
Terbukti, DAP tidak senang duduk melihat komposisi dalam pentadbiran awam walaupun perkhidmatan yang disediakan adalah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kaum.
Walaupun diakui ada kelemahan dalam pentadbiran awam, tetapi saranan untuk meningkatkan prestasi sepatutnya melalui cadangan peningkatan produktiviti dan bukannya dengan mengaitkan persoalan kaum.
Lagipun peluang kepada mana-mana kaum untuk berkhidmat sebagai penjawat awam sentiasa terbuka tanpa ada sebarang sekatan menyebabkan penulis terfikir apa niat sebenar Ramasamy ketika mengusulkan cadangan itu?
Beberapa hari sebelum ini juga kita dapat lihat pemimpin DAP tidak senang duduk dengan apa yang berlaku dalam universiti apabila muncul cadangan daripada pemimpin pemuda parti itu yang menggesa supaya etika pakaian di universiti dilonggarkan.
ADUN Tanah Rata, Ho Chi Yang dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan universiti untuk melonggarkan kod pemakaian dan menghormati kreativiti dan kebebasan pelajar untuk berpakaian.
Katanya, melaksanakan kod berpakaian ketat hanya mewujudkan undang-undang yang tidak penting di universiti.
Pada pandangan penulis, pemimpin muda DAP itu tidak memahami peranan universiti dalam melahirkan graduan berilmu yang sentiasa berdisiplin kerana tanpa usaha seperti itu, bagaimana mereka mahu menjadi insan berkualiti di alam pekerjaan kelak.
Dalam keadaan terdapat kod etika di universiti pun, masih ramai yang berpakaian sesuka hati maka apa akan jadi apabila penuntut diberi kebebasan untuk berpakaian dengan sesuka hati.
Jika tunduk kepada gesaan pemimpin muda DAP itu, tidak mustahil tempat pengajian akan menjadi pusat pertunjukan fesyen hingga ada yang sanggup berpakaian mencolok mata.
Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tok Mat mengenai sikap DAP yang tidak bermuka-muka, maka oleh sebab itu UMNO tidak perlu berpura-pura dalam menjalinkan kerjasama sesama mereka.
Oleh kerana tidak perlu berpura-pura, pemimpin utama UMNO yang dalam beberapa bulan ini aktif meyakinkan ahli-ahli bawahan bahawa DAP adalah teman terbaru yang baik sudah pasti tidak berani menyanggah tindak-tanduk pemimpin DAP.
Mereka lebih selesa berdiam diri dan hanya pemimpin bawahan UMNO sahaja yang berani untuk bersuara menyanggah kenyataan DAP terutama daripada Ramasamy.
Apa yang penulis nampak, pemimpin atasan UMNO terpaksa diam kerana mereka sedar dalam kerajaan Perpaduan, UMNO sekadar parti kecil yang hanya mempunyai 26 kerusi berbanding DAP yang dominan dan lebih senior dengan 40 kerusi.
PKR dan Amanah pula tidak boleh terlalu tegas terhadap DAP kerana mereka juga bergantung kepada kekuatan DAP yang sentiasa memperolehi sokongan yang ‘solid’ daripada pengundi Cina.
Maka, tidak hairanlah apabila pemimpin utama UMNO menjadi kerdil setiap kali pemimpin DAP bersuara kerana semua sedar di mana kedudukan UMNO dan sukar untuk menegur DAP yang baru sahaja dipuji dengan melangit.
Leave a Reply