Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan akaun parti itu menjejaskan sedikit persiapan Bersatu menghadapi pilhan raya negeri (PRN) di enam negeri.
Bagaimanapun Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yakin perkembangan tersebut tidak akan mempengaruhi pengundi dan sebahagian besar yang telah menyokong gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 terutama pengundi Melayu akan terus menyokong PN.
“Tapi dengan pembekuan akaun kita ini… siapa saja menghadapi masalah sebegini akan menghadapi masalah besar. Lebih-lebih lagi parti kita ini parti yang tidak berduit. Parti kita parti orang miskin.
“Kalau asas tindakan yang diambil oleh pihak SPRM ialah kerana ada tuduhan… yang saya baca… kerana RM600 bilion dulu sebahagian masuk dalam akaun Bersatu. Itu satu fitnah. Saya fikir bila pegawai (SPRM) tengok akaun itu dia akan ketawa.
“Satu sen pun tak masuk akaun Bersatu. Lepas itu dengar dah kurang RM45 bilion saja… konon komisen… tak ada juga. Saya cakap ni ikhlas pasal saya jaga parti dan saya tahu kedudukannya.
“(Lepas itu) kata RM300 juta pula… pun tak ada. Jadi kalau itulah asas tindakan dan saya fikir sampai sekarang ni tak ada… perkara itu adalah fitnah dan kita berharap SPRM akan menarik balik pembekuan itu,” katanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas hadir pada majlis kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr. Radzi Jidin di Putrajaya, hari ini.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri yakin SPRM profesional dalam menjalankan tugas mereka.
Katanya, Bersatu sudah menghantar surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki meminta mereka membuat keputusan segera.
“Saya yakin bahawa SPRM adalah badan profesional. Dia takkan tunduk pada tekanan mana-mana pihak. Baik parti pemerintah ke siapa saja. Pasal yang ada di hadapan ini itulah maklumat. Dengan tak ada penyelewengan, akaun diaudit. Lengkap… semua tak ada apa-apa.
“Bagi saya SPRM tidak harus melanjutkan pembekuan ni… kerana saya nak tentukan supaya di PRN enam buah negeri itu kita meraih sokongan yang besar daripada pengundi-pengundi kita semua, dan kita boleh mencapai kemenangan,” katanya.
Menurut Muhyiddin, PN akan bertanding semua kerusi dalam PRN di enam negeri tersebut yang akan diadakan dalam tahun ini.
Menurutnya, walaupun tidak banyak peruntukan untuk digunakan dalam menghadapi PRN itu, persiapan tetap dilakukan dan beliau yakin PN akan mencapai kemenangan termasuk di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH).
“Saya yakin kita boleh menang tiga buah negeri yang lain (diperintah PH) disebabkan perubahan besar yang berlaku pada hari ini, termasuk sikap pengundi yang melihat ketidakupayaan kerajaan hari ini menguruskan masalah-masalah utama rakyat.
“Saya kira negeri yang bukan kita kuasai pun kita boleh tembusinya,” kata beliau merujuk kepada Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang sekarang ini ditadbir PH.
Leave a Reply