KJ tanding naib presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia

BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ akan menjadi salah seorang calon yang akan bertanding jawatan naib presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Bagaimanapun, Datuk Abu Samah Abd Wahab terus diberikan kepercayaan untuk menerajui pucuk kepimpinan PKBM bagi tempoh 2023 hingga 2026 kerana tidak dicabar oleh mana-mana calon.

Menerusi kenyataan dikeluarkan PKBM, Abu Samah yang juga presiden badan induk itu sejak 1990, tidak dicabar mana-mana ahli gabungan lain selepas borang pencalonan ditutup 12 tengah hari tadi.

Perkembangan itu menyaksikan Abu Samah secara rasminya menang tanpa bertanding pada pemilihan barisan kepimpinan tertinggi PKBM yang dijadualkan berlangsung pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 18 Februari ini.

Pada AGM itu, Yunus Ibrahim akan mempertahankan kerusi timbalan presiden berdepan saingan daripada Datuk Amarjit Singh Gill dan Mazlan Md Jail, masing-masing naib presiden PKBM pada penggal sebelum ini.

Jawatan naib presiden PKBM bakal menyaksikan pertembungan 10 penjuru untuk mengisi lima kerusi yang dipertandingkan.

Khairy yang juga Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) antara calon bagi jawatan itu dan bakal berdepan Amarjit Singh, Firdaus Arshad, Mohd Saiful Abdul Jalil, Nohazlee Md Zaki, Mohd Asri Abd Mubin, Mohd Yusof Abd Nasir, Muhammad Firdaus Dawod, Norazman Ab Samah dan Dr Za’im Ahmad.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *