Penuntut cemerlang IPT jatuh dari tingkat sembilan

Oleh BADLISHAH MAT

SEORANG penuntut lelaki sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Sungai Petani maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat sembilan sebuah pusat beli belah, petang semalam.

Penuntut tahun akhir berusia lingkungan 20-an itu juga merupakan salah seorang pelajar cemerlang di IPT tersebut dan sering meraih Anugerah Dekan.

Dia yang mengambil jurusan Sistem Pengurusan Maklumat itu juga sering memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.85 selain dipilih menjadi ahli forum dalam penganjuran bengkel atau aktiviti di pusat pengajiannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, maklumat awal diperolehi daripada ibu bapanya yang menetap di luar negara mendapati mangsa mula berada di bawah tekanan sejak setahun lalu.

“Keadaan itu memaksanya mengambil ubat penenang. Namun, kita masih meneruskan siasatan berhubung aspek kekeluargaan, masalah kewangan serta hubungannya untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

Kira-kira pukul 3 petang semalam, mangsa yang berasal dari Pulau Pinang ditemukan tertiarap oleh seorang pekerja pembersihan di tepi sebuah pusat beli belah di Sungai Petani.

Saksi menemukan mangsa dalam keadaan berlumuran darah setelah terdengar bunyi seperti benda terjatuh ketika sedang bertugas di kawasan itu sebelum menghubungi polis.

Kata Zaidy, siasatan di lokasi kejadian turut menemukan sebuah beg sandang milik mangsa di koridor tingkat sembilan bangunan itu yang dipercayai tempat dia terjatuh.

“Polis menemukan kad pelajar miliknya serta laporan tugasan membabitkan bidang pengajiannya.

“Mayat masih dalam proses saringan Covid-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan belum dibedah siasat.

“Namun, pemeriksaan awal pihak hospital tidak mendapati sebarang kesan atau unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *