bot

Pelajar OKU lemas mandi sungai bersama 5 rakan

SEORANG pelajar orang kurang upaya (OKU) ditemukan lemas semasa mandi-manda bersama rakan-rakannya di Sungai Kombat, Felda Perasu di Gua Musang, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa, Muhammad Fakhrul Imam Zulkepli, 16, yang lembam dalam pembelajaran itu dipercayai hanyut dan tenggelam dibawa arus sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa ke sungai tersebut bersama lima rakan yang juga merupakan jirannya.

Semasa sedang mandi katanya, mangsa dan seorang lagi rakannya dikenali sebagai Amir telah dihanyutkan ke tempat yang lebih dalam.

“Menyedari keduanya hampir lemas, rakan-rakannya telah berusaha menyelamatkan mereka. Bagaimanapun, Amir berjaya diselamatkan dan dibawa naik ke tebing sungai.

“Selepas itu mereka cuba menyelamatkan Muhammad Fakhrul Imam menggunakan sebatang kayu tetapi malangnya ia patah dan hanyut serta tenggelam dibawa arus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Choon Foo berkata, rakan-rakan mangsa kemudian bertindak melaungkan azan dan tidak lama kemudian Muhammad Fakrul Imam telah timbul.

“Mangsa dibawa ke tebing sungai dan telah dibantu dengan melakukan bantuan pernafasan. Tetapi didapati mangsa tidak memberi sebarang tidak balas.

“Jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tujuan bedah siasat,” katanya, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *