Hukuman Hanis peringatan untuk hormat masyarakat majmuk – Ahmad Faizal

DUA bekas Menteri Belia dan Sukan menyambut baik penggantungan ke atas pemain hoki negara, Hanis Nadiah Onn daripada mewakili negara selepas membuat komen rasis baru-baru ini.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hukuman itu merupakan peringatan bahawa komen berbaur perkauman tiada ruang dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Jelasnya yang ni juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), rasa hormat antara satu sama lain adalah asas paling penting kepada masyarakat majmuk.

“Sebagai seorang pemain hoki kebangsaan, Hanis harus bertanggungjawab atas komen tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata, hukuman itu perlu dijadikan contoh kepada persatuan dan atlet lain supaya sentiasa menghormati kepelbagaian budaya agama dan bangsa di Malaysia.

“Ia juga untuk pastikan tindakan sebegini tidak berulang lagi,” katanya memetik laporan FMT.

Terdahulu, Hanis hari ini dilaporkan menerima penggantungan itu dengan hati terbuka dan bertekad tidak mengulangi kesilapan sama, selain mengingatkan atlet lain sentiasa berhati-hati membuat sebarang hantaran di media sosial.

Semalam, Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memutuskan Hanis digantung serta tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan ke perlawanan antarabangsa, susulan komen berbaur perkauman berkaitan konsert penyanyi AR Rahman bulan lepas.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menganggap hukuman itu sangat keras berbanding kesalahan Hanis.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq mempersoalkan sama ada Fadhli tahu selok-belok sukan berbanding keputusan KHM yang sudah lama dalam industri itu.

Beliau mencadangkan Fadhli meneliti keputusan KHM dan permohonan maaf oleh Hanis yang mengakui kesilapannya.

“Pada masa sama, isu ini bukan isu kecil kerana sukan adalah ejen penyatuan terbaik untuk memberikan contoh terbaik, khususnya apabila dia mewakili nama baik negara di persada antarabangsa,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *