luncai nur jazlan

Bekas diplomat kritik lantik Nazri duta besar ke AS

DUA bekas diplomat mengkritik keputusan Putrajaya melantik Datuk Seri Nazri Aziz daripada UMNO sebagai duta besar ke Amerika Syarikat (AS).

Menurut bekas diplomat, Noor Farida Mohd. Ariffin dan Dennis Ignatius, menggambarkan pelantikan Nazri sebagai mengecewakan.

“Tidak adil bagi diplomat sedia ada apabila mereka dinafikan peluang dilantik menjadi duta.

“Saya fikir perdana menteri membuat pertimbangan yang buruk apabila menamakan Nazri sebagai duta kita ke AS,” kata Noor Farida, bekas duta ke Belanda, lapor FMT.

Beliau juga berkata, langkah itu melemahkan moral diplomat sedia ada, yang mungkin lebih layak bagi jawatan terbabit.

Semalam, Kementerian Luar memaklumkan bahawa Nazri dan sembilan yang lain menerima watikah pelantikan sebagai ketua perwakilan diplomatik baharu daripada Yang di-Pertuan Agong.

Nazri sebelum ini dikaitkan dengan pelantikan duta ke AS dan Switzerland ketika pentadbiran terdahulu.

Ignatius, bekas pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Kanada, dalam maklum balas ringkas berkata: “Hari demi hari, PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengecewakan.”

Dalam pada itu, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, pelantikan Nazri bukan perkara luar biasa.

Pada masa lalu, katanya, ahli politik termasuk Dr. Ismail Abdul Rahman dan Zulhasnan Rafique berkhidmat sebagai duta besar Malaysia ke AS.

Bagaimanapun, berbanding di Barat, pelantikan ahli politik Malaysia sebagai utusan akan mencetuskan kontroversi.

“Di Barat, (perkara) lazim ahli politik dilantik sebagai utusan. Kerajaan semasa mesti dibenarkan memutuskan (pelantikan utusan),” katanya.

Tahun lepas, Putrajaya berdepan tekanan daripada Ahli Parlimen pembangkang susulan rancangan melantik ahli politik, yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, sebagai duta ke Indonesia.

Bagaimanapun, pelantikannya kemudian dibatalkan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *