SEORANG lelaki yang baru keluar penjara tidak serik melakukan jenayah apabila menyamun kedai serbaneka di Petaling Jaya bersenjatakan pistol angin sejak sebulan lalu.
Bagaimanapun, kegiatan itu tidak bertahan lama selepas lelaki berusia 30 tahun berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kuala Lumpur pukul 10 pagi pada 2 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas sebuah motosikal Yamaha Y16ZR, beberapa kad pengenalan, lesen memandu dan kad ATM milik individu lain.
“Selain itu, kami turut merampas sepucuk pistol angin revolver yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, semakan dilakukan mendapati suspek baru keluar dari penjara pada Januari lalu atas kesalahan jenayah samun.
Katanya, sebaik dibebaskan dari penjara, suspek kembali aktif kembali menyamun sejak bulan lalu dengan menyasarkan kedai serbaneka.
“Jenayah itu dilakukan suspek bersendirian pada awal pagi dengan menyamar sebagai pelanggan dan bersenjatakan pistol angin bagi menakutkan pekerja premis.
“Kami percaya pistol angin digunakan suspek berkenaan dibeli secara dalam talian. Hasil kegiatan itu dipercayai digunakan suspek untuk membeli alat ganti motosikal,” katanya yang memaklumkan lelaki itu memiliki rekod kes jenayah dan dadah.
Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek terbabit memiliki rekod berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Kami percaya berjaya menyelesaikan empat kes samun kedai serbaneka di daerah ini dengan penahanan suspek berkenaan.
“Lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga semalam dan akan disambung reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply