Bekas Ahli Parlimen Jelebu, ADUN Klawang, meninggal dunia

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat atau lebih dikenali ‘Apak Yunus’, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Berita pemergian Allahyarham yang juga bekas Ahli Parlimen Jelebu, pada usia 68 tahun itu dikongsikan isterinya, Datin Juriah Suleiman, ketika dihubungi media.

“Saya tidak sangka suami pergi… sebelum itu, kami hendak ke mesyuarat dan suami duduk di kerusi di dalam pejabat. Suami mengadu sakit belakang dan tiba-tiba tidak sedarkan diri. Kami segera membawanya ke hospital, namun doktor mengesahkan suami sudah meninggal dunia.

“Semalam pun arwah tidak tidur sangat. Sebelum ini, arwah ada meminta nama ahli keluarga yang sudah meninggal dunia untuk membuat kenduri tahlil… tidak sangka suami pergi meninggalkan kami pada Jumaat ini.

“Jenazah masih di Kuantan ketika ini, dan akan dimandi serta dikafankan di sini,” katanya lapor Berita Harian.

Juriah berkata, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Seremban, esok.

Allahyarham menjadi Ahli Parlimen Jelebu mewakili Barisan Nasional (BN) dari 1995 hingga 1999 dan ADUN Klawang (2008 hingga 2018), selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan dari 2008 hingga 2013.

Beliau kemudian mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2018.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *