Terus pandu lori remuk ke hospital selepas kemalangan untuk rawatan

Oleh RIZQI ZABIDI

TANPA membuat sebarang panggilan kecemasan, seorang pemandu lori bertindak segera memandu lorinya yang remuk, terus ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Jitra di Kedah setelah kenderaan tersebut terlibat dalam kemalangan kelmarin.

Tindakannya itu dipercayai dibuat bagi memastikan kelindannya yang tersepit di kerusi penumpang, segera diberikan rawatan.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo, pihak hospital langsung tidak menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sebelum lori tersebut tiba-tiba muncul dan berhenti di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Jitra kira-kira pukul 4 petang.

“Sebaik lori itu berhenti di depan unit tersebut, petugas hospital terus memberi bantuan. Pemandunya hanya cedera ringan namun kelindannya tersepit di tempat duduk penumpang.

“Begitu pun kelindan lori tersebut berjaya dikeluarkan. Dia kemudiannya dibawa ke zon merah untuk dirawat,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.

Ketibaan lori tersebut dalam keadaan remuk ke hospital menarik perhatian ramai apabila klip video mengenainya tular di media sosial.

Difahamkan lori berkenaan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah mesin padi di Jalan Sunngai Korok, Jitra.

Othman menambah, kelindan lori itu didapati mengalami kecederaan di bahagian abdomen dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

“Pemandu lori itu pula turut diberi rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *