SEORANG peniaga lelaki berusia 36 tahun kerugian RM69,374 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud, bulan lalu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan, mangsa yang berasal dari Raub berminat untuk membuat pinjaman RM40,000 melalui iklan pinjaman wang di laman sosial pada 31 Januari lalu.
“Pinjaman terbabit bagi tujuan pembayaran kad kredit dan pengubahsuaian rumah.
“Suspek bersetuju memberi pinjaman dan meminta mangsa untuk membuat beberapa bayaran seperti untuk proses pinjaman, insurans pinjaman dan cukai pinjaman,” katanya pada kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa kemudian membuat 10 transaksi berjumlah RM69,374.00 ke tiga akaun bank yang berbeza.
Bagaimanapun ujar Ramli, mangsa akhirnya menyedari diperdaya sebelum membuat laporan polis.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Kita menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud,” katanya, lapor Harian Metro.
Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon di https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.
Leave a Reply