Bot nelayan tempatan dikendalikan 23 warga asing ditahan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pukul 8.09 malam tadi atas pelbagai kesalahan termasuk dikendalikan kru pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 5.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi dalam rondaan OP PERTIWI dan OP TANJUNG.
 
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong warga Thailand dan 22 kru warga Kemboja berumur  antara 21 hingga 46 tahun.

Pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong warga Thailand dan 22 kru warga Kemboja berumur  antara 21 hingga 46 tahun

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, seramai 13 kru tidak  mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan pemilik bot didapati melakukan kesalahan kerana menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan.
 
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abd. Razak, bot serta kesemua kru ditahan termasuk lima kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
 
Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil mengambil PATI bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

Jelasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *