PERANG saudara, pemberontakan, dan pelarian yang berlarutan sejak lebih satu dekad lalu merumitkan usaha pencarian dan penyelamatan mangsa gempa bumi yang melanda dua negara, Syria dan Turkiye.
Namun bagi masyarakat di Syria, mereka mungkin sudah bersedia dengan pelbagai risiko serangan atau bencana yang melanda bumi Anbiya itu.
Ketika usaha pencarian dan penyelamatan runtuhan bangunan susulan gempa di Syria iaitu menfokuskan kepada Idlib dan Aleppo, pasukan penyelamat berjaya menemukan dua kanak-kanak terperang di bawah runtuhan bangunan.
Perkongsian di laman Twitter oleh seorang wartawan Zuhair Alamosa mencuri perhatian masyarakat dunia setelah dia menceritakan detik-detik penyelamatan di bawah runtuhan.
Apa yang meruntun hati adalah seorang kanak-kanak itu merayu untuk dikeluarkan dari runtuhan dan merelakan diri untuk dijadikan hamba.
“Tolong bawa saya dan adik keluar dari runtuhan ini tuan. Saya rela untuk menjadi hamba anda,” jelasnya dalam video berdurasi 17 saat itu, lapor Astro AWANI.
Ungkapan kanak-kanak itu memberi tamparan kepada dunia bahawasanya kedua-dua mereka mungkin beranggapan runtuhan rumah itu berikutan serangan dan bukannya kesan gempa bumi.
Menerusi video berkenaan, kanak-kanak yang berbaju biru itu cuba menenangkan adik perempuannya yang turut dalam kesempitan di celah runtuhan bangunan.
Kedua-dua mereka dilihat dalam keadaan penat dan tidak bertenanga susulan terperangkap dipercayai tanpa makanan dan minuman sejak gempa menggegarkan pada Isnin.
Kedua-dua mereka dilaporkan terperangkap berikutan bumbung rumah mereka runtuh.
Leave a Reply