Oleh BADLISHAH MAT
KERAJAAN sepatutnya menggunakan pendekatan yang lebih baik seperti menyalurkan peruntukan mengikut kesesuaian sesuatu kawasan Parlimen berbanding bertindak memotong peruntukan kesemua Ahli Parlimen.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan sewajarnya mengambil kira beberapa pertimbangan antaranya keluasan, kepadatan penduduk serta tahap kemudahan yang ada di sesebuah kawasan.
“Putrajaya contohnya memiliki kemudahan begitu banyak, RM1.3 juta mungkin besar (bagi kawasan itu) sebab tiada keperluan sangat. Tetapi bagi kawasan Parlimen yang luas seperti Baling dan Sik di Kedah ini banyak kumpulan sasar yang perlu dibantu.
“Bagi Parlimen luar bandar, saya rasa peruntukan perlu ditambah manakala di kawasan bandar yang segalanya sudah ada, kurangkanlah sedikit. Tak perlu bagi sama rata sebab pemberatnya tidak sama di setiap kawasan termasuk dari segi jumlah pengundi dan sosio ekonomi.
“Peruntukan untuk Tambun pun contohnya, mungkin boleh dibawa ke Sik. Lagi pun Ahli Parlimen di situ tidak mengambil gaji (sebagai Perdana Menteri) dan di sana sudah banyak kemudahan, maka Sik sedia terima peruntukan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sempena Sukma 2020 di Alor Setar, hari ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan tahun ini sebagai langkah mengawal kewangan negara.
Anwar berkata, keputusan itu diambil berikutan beliau sangat tegas dalam isu tata kelola, rasuah dan salah guna kuasa.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi mengakui tindakan itu mungkin sebahagian daripada langkah Kerajaan Persekutuan untuk menjimatkan perbelanjaan, namun berpandangan tindakan itu tidak patut dilaksanakan.
“Sebaliknya perlu ditambah bergantung kepada keperluan. Bukankah mereka ada pakar formula yang kini bertindak sebagai Menteri Ekonomi dan jika ditanya kepada beliau, sudah tentu peruntukan tersebut boleh ditambah.
“Dalam keadaan sekarang pun, bajet masih belum diluluskan dan saya jangka bajet tersebut hanya akan diluluskan pada 30 Mac. Jadi rasanya perbelanjaan tahun ini tidaklah besar kerana pelaksanaan bajet kali ini nampak lebih pendek berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Leave a Reply